Malaysia Kembali Menang
SHAH ALAM - Misi tiga mata tercapai apabila
Harimau Malaya kembali mengaum di gelanggang sendiri dengan kemenangan
2-1 ke atas Yemen dalam Kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Shah Alam,
semalam.
Khyril Muhymeen memastikan kemenangan berharga Malaysia dengan gol
pada minit ke-80 ketika perlawanan seakan-akan berakhir dengan keputusan
seri setelah banyak peluang gol gagal disempurnakan Norshahrul Idlan
Talaha.
Sebelum itu, Yemen mendahului menerusi jaringan Aiman Saleh Abd.
Al-Hagri pada minit ke-12 tetapi Malaysia menyamakan kedudukan menerusi
Azamuddin Akil pada minit ke-27.
Kemenangan semalam penting bagi Malaysia merintis kembali laluan ke pusingan akhir.
Apa yang pasti, pemain kembali mendapatkan keyakinan setelah dikritik
hebat kerana prestasi kurang memberangsangkan dalam dua perlawanan
terakhir.
Paling mencuri tumpuan dalam perlawanan semalam sudah pasti Mahalli
Jasuli yang layak dilabel sebagai pemain terbaik selepas kerap
mengkucar-kacirkan pertahanan Yemen melalui gerakan berbahaya di sebelah
kanan bersama Wan Zack Haikal Wan Noor.
Sebaik hujan membasahi padang, tuan rumah dikejutkan dengan gol
pendahuluan melalui pemain muda berusia 20 tahun, Aiman pada minit
ke-12.
Dia bersahaja memperdayakan dua pertahanan Harimau Malaya dan tidak
melepaskan peluang terbuka di depan gol dengan rembatan menarik yang
menewaskan Khairul Fahmi Che Mat.
Jaringan itu seolah-olah membakar semangat anak-anak buah Datuk K.
Rajagobal yang mempertingkatkan momentum serangan dalam usaha menyamakan
kedudukan.
Hasilnya 15 minit kemudian, gol yang dicari-cari akhirnya menjelma.
Mahalli bertindak selaku perancang utama dengan melakukan hantaran
leret ke dalam kotak penalti yang gagal ditampan Safiq sebelum bola
tepat pada kaki Azamuddin, yang mudah menolak masuk ke dalam gawang
Yemen.
Gol berkenaan merupakan jaringan keempat peribadi Azamuddin dalam 17 penampilan bersama Harimau Malaya.
Babak kedua memperlihatkan penguasaan Harimau Malaya dengan pelawat
sekali-sekala mencemaskan pertahanan negara melalui serangan balas
pantas yang diterajui ketua pasukan, Akram Hamood Abdo Al-Wrafi.
Deretan peluang terhidang disia-siakan penyerang Johor Darul Takzim,
Norshahrul yang bagaikan hilang sentuhan berbisa di depan pintu gol
Yemen terutama pada minit ke-74 apabila sekadar menyepak tepat ke arah
penjaga gol, M. Saleem dalam situasi satu sama satu.
Pemain paling bernilai tiga musim berturut-turut itu sekali lagi
melepaskan satu peluang mudah dengan sepakannya tersasar ke arah kanan
selepas bola muntah rembatan Khyril yang dapat ditampan Saleem.
Khyril akhirnya muncul wira Harimau Malaya dan memberikan kelegaan
kepada peminat setia yang hadir ke stadium dengan menghadiahkan gol
paling bermakna pada minit ke-80.
Melalui gerakan Norshahrul, hantaran lintangnya disudahkan dengan
begitu bersahaja oleh Khyril yang menanduk cantik bagi memberikan
kemenangan sulung Harimau Malaya dalam Kumpulan D Kelayakan Piala Asia
2015.